Sunday, June 12, 2011

HAZAMA JUARA

PUTRAJAYA 12 Jun – Program realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) atau yang terakhir mengangkat Hazama sebagai juara pertandingan nyanyian itu pada konsertnya yang diadakan di Dataran Putrajaya di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 26, membolot hadiah berupa wang tunai RM200,000, hamper, wang tunai RM5,000 sumbangan Power Root, sebuah kamera Sony Handycam bernilai RM3,299 dan trofi.

Naib juara pertandingan yang diacarakan Aznil Nawawi, AC Mizal, Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley itu dimenangi oleh Lena atau Lenaber Haider, 22, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, hamper dan wang tunai bernilai RM2,000 sumbangan Power Root, sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 serta trofi.

Tempat ketiga pertandingan yang disiarkan menerusi Astro Ria itu diraih oleh Fina atau nama sebenarnya Nur Shafinaz Jebat yang menggondol wang tunai RM20,000, hamper dan wang tunai bernilai RM1,000 sumbangan Power Root, sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony dan trofi.

Sementara itu, tempat keempat pula dimenangi oleh Azri yang merangkul hadiah wang tunai RM5,000, sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 sumbangan Sony dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Pertandingan akhir yang dihadiri kira-kira 5,000 penonton itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dari pukul 9 malam hingga 12 malam.

SUMBER: UTUSAN ONLINE

No comments:

KEDAH STEM FAIR 2023